1.0
PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Istilah "Renaissance"[1] bermaksud 'kelahiran
semula', dan Renaissance Eropah ertinya pemulihan tamadun Eropah selepas 800
tahun mereka kebuluran intelektual dan sastera, yang dikenakan ke atas mereka
oleh Kekristianan awal. Jika dilihat dari sudut definisinya, kata Renaissance
ini menyifatkan sebuah pembangunan kembali atau kebangkitan. Selain itu, zaman
Renaissance ini juga sering kali disebut sebagai zaman humanisme. Ia bermaksud
manusia diangkat dari abad pertengahan. Pada abad pertengahan itu, manusia
dianggap kurang dihargai sebagai manusia.
Menurut
Prancis Michel De Certeau Renaissance muncul kerana bubarnya
rangkaian-rangkaian sosial lama dan pertumbuhan elite baru sehingga gereja
berusaha untuk kembali mendesak kawalan dan manyatukan kembali masyarakat melalui
penggunaan pelbagai teknik untuk memberi inspirasi serta kepercayaan sehingga
dapat menyatukan kembali gereja yang berpecah-belah akibat perpecahan (perang
agama). Renaissance bermula di Itali dan tersebar ke Perancis, Jerman dan
England seterusnya ke seluruh Eropah. Proses penyebaran ini mengambil waktu
yang sangat lama dan kemuncak zaman Renaissance ini adalah pada abad ke-15M.
Zaman
Renaissance ini merupakan satu kesedaran daripada masyarakat Eropah untuk
mewujudkan kembali kegemilangan Peradaban Eropah sebelumnya iaitu Peradaban
Klasik Greek dan Rom. Dua peradaban besar ini merupakan satu empayar agung yang
pernah wujud pada suatu ketika dahulu. Walau bagaimanpun, setelah berakhirnya
empayar besar ini, ia merupakan satu titik permulaan kejatuhan bangsa Eropah yang
bermula dengan berakhirnya Peradaban Rom di Itali pada 476M. Kejatuhan
peradaban agung ini kemudiannya dibiarkan begitu sahaja oleh bangsa Eropah
sehingga mereka dibelenggu kejahilan yang dikenali sebagai Zaman Gelap ( Dark Ages). Sewaktu zaman Gelap ini
berlaku, keadaan masyarakat Eropah pada ketika ini sangat teruk dimana keadaan
sudah tidak selamat kerana berlakunya pembunuhan, rompakan dan pelbagai jenayah
yang sukar dibendung. Selain itu, para petani juga dilayan sebagai hamba.
Kemiskinan, rasuah, kejahilan, dan ketidakstabilan merupakan sebahagian besar
daripada kehidupan seharian mereka.[2]
Hampir
seribu tahun Eropah berada dalam kegelapan dan ia bukannya satu tempoh yang
singkat. Timbul persoalan di mana tempoh yang lama mereka berada dalam
kegelapan, bagaimana mereka mampu untuk bangkit serta membangunkan kembali
tamadun mereka yang sudah jauh ketinggalan.
1.2 KEPENTINGAN KAJIAN
Artikel ini ditulis kerana membawa
kepada beberapa kepentingan:
1.
Artikel
ini diharap dapat memberi maklumat tentang munculnya zaman Renaissance.
2.
Artikel
ini diharap dapat menjelaskan dengan terperinci kesan zaman Renaissance.
3.
Artikel
ini diharap dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa
bangkit dan mencapai kemajuan.
1.3 BATASAN KAJIAN
Kajian ini hanya memfokuskan kepada
peristiwa Renaissance kepada tiga aspek iaitu aspek politik, ekonomi dan
sosial.
2.0 SOROTAN KAJIAN LEPAS
Menurut Mohamad Kamal Bin Kamaruddin
(2009) dalam kajiannya, Selatan Sepanyol abad ke 8-11M: Sumbangannya Terhadap
Kebangkitan Renaissance di Eropah, menyatakan zaman Renaissance ini istilahnya
yang untuk menggambarkan tempoh masa ini di Itali. Jacob Burckhardt mencipta
konsep Renaissance dalam karyanya bertajuk Civilization
of the Renaissance in Italy yang diterbitkan pada tahun 1860. Dia
menggambarkan Itali pada kurun ke-14M dan 15M sebagai tempat kelahiran dunia
moden dan menyaksikan kebangkitan semula zaman kegemilangan "penyempurnaan
individu" dan sekularisme sebagai ciri perbezaan utama. Renaissance di
Itali merupakan masyarakat bandar yang besar. Negara kota khususnya di utara
Itali menjadi pusat politik, ekonomi dan sosial Itali. Dalam masyarakat bandar
baru ini, semangat sekular timbul ketika kekayaan yang meningkat mencipta
kemungkinan baru untuk keseronokkan benda duniawi. Kesedaran yang menekankan
kepada kemampuan individu menjadi ciri kepada Renaissance di Itali. Penghargaan
yang tinggi terhadap maruah manusia, nilai dan kesedaran terhadap potensi
individu mencipta satu idea sosial tentang personaliti yang serba boleh atau
manusia umum yang mampu dalam pencapaian pelbagai aspek kehidupan. Ciri-ciri
umum Renaissance Itali bukanlah ciri-ciri untuk semua orang Itali tetapi lebih
kepada pengekalan kelas golongan atasan yang lebih tinggi dan terdiri daripada
peratusan kecil daripada keseluruhan penduduk. Pencapaian Renaissance Itali
ialah produk golongan elit dan bukannya golongan bawahan. Namun begitu, secara tidak
langsung Renaissance Itali ini memberi impak ke atas golongan bawahan.
Daripada
kajian tersebut, jelas dinyatakan kesan Renaissance bagi aspek sosial yang mana
maruah manusia pada ketika itu ada nilai di sisi mereka dan tidak lagi dipijak
seperti yang terjadi pada zaman Gelap.selain itu, pada zaman dikatakan lahirnya
ramai tokoh-tokoh Ilmuan antaranya ialah Niccolo Machiavelli, Erasmus, Thomas
More dan ramai lagi yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam segenap bidang.
Menurut Wan Fuad Wan Hassan pula :
“ Ahli
fikir Renaissance menyoal pendekatan yang digunakan oleh ahli falsafah Zaman
Pertengahan. Mereka merupakan pemberontak terhadap tradisi dan kepercayaan
zaman Pertengahan, termasuklah terhadap kepercayaan dalam Agama Kristian.
Gerakan ini juga dilihat sebagai permulaan kepada aliran rasionalisme, dengan
meletakkan kebolehan akal manusia lebih tinggi daripada segala-galanya.”
Daripada catatan tersebut
dapat ditafsirkan bahawa pada zaman Renaissance ini pemikiran masyarakat Eropah
sudah berkembang yang melahirkan pemikiran yang bebas dan moden. Namun, artikel
yang ditulis ini akan mengumpulkan beberapa lagi kesan atau kebangkitan Eropah
dari segi politik, ekonomi dan sosial.
3.0 KANDUNGAN ARTIKEL
3.1 POLITIK
Perubahan yang berlaku pada
zaman Renaissance dari sudut politik ialah telah muncul penulis yang telah
menulis buku-buku yang membawa idea kepada pembaca agar memilih sistem politik
yang paling ideal bagi negara Itali khususnya. Antara tokoh yang turut
menyumbangkan idea dan pemikiran mereka dalam bidang politik ialah Niccolo
Machiavelli menerusi bukunya The Prince.
Beliau melontarkan idea-idea yang cukup bernas yang menerangkan bagaimana
seseorang pemimpin itu boleh mengekalkan pemerintahan mereka. Buku terbitan
beliau menjadi panduan kepada semua para pemerintah Eropah pada ketika itu. Hal
ini jelas menunjukkan pemikiran masyarakat Eropah ke arah sistem politik
semakin berkembang.
Bukan
itu sahaja, terdapat seorang lagi tokoh yang turut menyatakan idea mereka iaitu
Rene Descartes menerusi bukunya Discourse
on Method yang menghasilkan karya teologi yang unggul. Dalam karya beliau,
aspek yang dinyatakan adalah penegasan bahawa segala-galanya bermula kerana
manusia. Tanpa manusia tiada apa yang terhasil.
3.2 EKONOMI
Impak dari sudut ekonomi begitu jelas
terlihat yang mana perdagangan
berkembang pesat dan bandar-bandar di bahagian utara Itali sepert Milan, Genoa
dan Florence mula berfungsi sebagai pusat politik, ekonomi dan sosial. Sebagai
contoh, Florence telah berkembang maju menjadi tempat tinggal para pedagang,
antara yang terkenal ialah keluarga Medici. Keluarga Medici meraih kekayaan
daripada perdagangan kain bulu, kemudiannya menceburi perbankan dan akhirnya
muncul sebagai golongan kelas pemerintah atasan. Keluarga Medici juga
berperanan sebagai pengusaha bank untuk gereja.
Selain
itu, Keluarga Medici pada ketika itu sering menjemput para penulis, ahli-ahli
bijak pandai dan guru-guru untuk mengajar anak-anak mereka dengan diberikan
gaji yang tinggi. Mereka juga memberi bayaran yang tinggi kepada
pelukis-pelukis potret yang melukis untuk mereka. Sokongan kepada pelukis dan
guru ini dinamakan naungan. Dasar naungan ini mengakibatkan ramai orang suka
berdamping dengan golongan yang kaya ini. Bentuk naungan ini juga telah
memberikan sumbangan yang berharga kepada penghasilan karya-karya serta lukisan
yang menarik dan bermutu tinggi.
Masyarakat
pada ketika itu berlumba-lumba memasuki kawasan kota dagang dan kota industri,
menjadi buruh dengan tujuan berusaha merubah kehidupan ekonomi ke arah yang
lebih baik. Petani-petani yang pada Abad Pertengahan setia mengerjakan tanah
para bangsawan feudal, kini hilang berganti dengan golongan masyarakat baru.
Iklim bandar Itali pada ketika itu adalah iklim perdagangan, pragmatis dan
bersifat pertandingan.
3.3 SOSIAL
Bidang sosial ini juga jelas
kelihatan perubahannya pada zaman Renaissance ini. Berlakunya kemajuan yang
pesat dalam bidang seni lukis, seni ukir, seni muzik, drama dan seni bina.
Dalam bidang seni lukis, lahirnya tokohyg tidak asing lagi iaitu Leonardo Da
Vinci (1452-1519) yang menghasilkan karya agungnya iaitu potret Monalisa.
Perubahan yang mendadak dalam bidang lukisan ketika zaman Renaissance ini ialah
tema lukisan tidak lagi terhad kepada tema keagamaan sahaja.
Pada
zaman ini, golongan pertengahan kaya suka melukis diri mereka dalam keadaan
suasana romantic chivalry dan country society. Lukisan Renaissance
memperlihatkan realiti. Pelukis Florence, Giotto adalah pelukis yang
menonjolkan realisme. Beliau melukis tubuh badan manusia dengan real. Lukisan
terkenal Michaelangelo iaitu “David” dan “The Last Judgement” menggambarkan
lukisan lelaki sebagai kuat dan gagah berani. Sifat yang mengagungkan tubuh
manusia menggambarkan semangat sekular pada zaman Renaissance.
Tidak
kurang juga perkembangan seni muzik dimana pereka-pereka lagu mula pandai
menggabungkan beberapa irama dan menjadikan muzik itu sukar untuk difahami.
Biola dan piano adalah antara alat yang digunakan semasa zaman Renaissance.
Dari sudut pendidikan pula, pendidikan sekular seperti perundangan dan
perubatan juga semakin berkembang. Perkembangan ini sejajar dengan perkembangan
negara bangsa yang memerlukan golongan pentadbir. Selain itu, perkembangan lain
dapat dilihat apabila tertubuhnya sekolah-sekolah dan institusi-institusi
pengajian tinggi dan golongan menengah. Antara universiti yang terkenal
terdapat di negara-negara seperti Perancis (Paris), Itali (Bologna), dan
England (Oxford dan Cambridge). Menjelang tahun 1500M, terdapat kira-kira 75
buah universiti di Eropah.
Kehidupan sosial masyarakat
Eropah tidak lagi mahu terbelenggu oleh ikatan gereja. Mereka memalingkan diri
dari kehidupan akhirat kepada keduniaan sehingga pengaruh gereja merosot.
Kehidupan materialistis semakin berkembang mendesak kehidupan keagamaan.
4.0 PENUTUP
Kesimpulannya, Zaman Renaissance memperlihatkan
banyak perubahan-perubahan yang berlaku. Dan setiap perubahan yang terjadi
bukannya berlaku sekelip mata namun dengan semangat masyarakat Eropah yang
ingin bangkit dan keluar dari kegelapan serta bersaing dengan Tamadun Islam
yang berkembang pesat pada ketika itu.
Renaissance
memperlihatkan banyak perubahan dari setiap sudut aspek kehidupan Eropah
termasuklah cara pemikiran masyarakat pada waktu itu. Untuk merubah pemikiran
sesebuah masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah namun memerlukan sedikit pengorbanan
untuk bangkit dan terus berusaha. Setelah itu, barulah manusia sedar bahawa,
tanpa usaha, manusia tidak akan ke mana dan zaman Gelap terus membelenggu
mereka seandainya tidak membuat anjakan paradigma sepert Renaissance.
[1] 'Renaissance merupakan zaman kebangkitan
budaya ilmu dan intelektual. Dalam aspek sejarah, Renaissance adalah satu
gerakan yang meliputi suatu zaman di mana orang merasakan dirinya sebagai telah
dilahirkan semula. Rujuk, Dr Harun Hadiwijono (1980). Sari Sejarah Filsafat
Barat 2. Yogyakarta: Penerbit Kanisus, hal 11.
[2]
Abdellatif Charafi, Once Upon a Time in Andalusia,
<ireland.iol.ie/-afifi/Articles/Andalusia.html.com>
( 1 September
2015)
No comments:
Post a Comment