mood comel untuk blog



Monday, 7 September 2015

Pentaksiran dalam PSV

1.0         PENDAHULUAN
Pendidikan Seni Visual merupakan salah satu subjek yang diperkenalkan kepada murid-murid di sekolah rendah. Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak. Pengenalan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ini memberi peluang kepada murid-murid sekolah rendah untuk mengekspresikan idea mereka, memenuhi minat murid dalam bidang seni dan memberi kesedaran tentang nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran yang lain. Setiap murid di dalam kelas mempunyai kecerdasan yang berbeza. Menurut Howard Gardner, terdapat sembilan tahap dalam kecerdasan di mana kecerdasan ini tidak boleh diwarisi dan boleh dipengaruhi oleh budaya, persekitaran, peluang pendidikan, makanan dan suasana pembelajaran. Contoh kecerdasan tersebut ialah logikal-Matematik, Visual-Ruang, Linguistik, Kinestatik, Muzik, Interpersonal, Intrapersonal, Naturalis dan Spiritual. Kegiatan seperti penerokaan, dan reka bentuk dalam pelbagai jenis visual akan membolehkan murid-murid untuk menyatakan idea sendiri. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh komunikasi pancaindera secara seimbang. Proses ini akan menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.
            Pembelajaran Pendidikan Seni juga secara umumnya adalah untuk membina keupayaan bagi menghargai dan mendiskriminasi apa yang dilihat oleh mata. Literasi visual ini juga meliputi keupayaan menghargai dan memanipulasi bahasa tampak yang mengkehendaki seseorang itu berkeupayaan untuk membaca imej-imej visual. Disamping keupayaan ini, menerusi Pendidikan Seni juga pelajar diberi peluang untuk membina kemahiran psikomotor dalam berbagai-bagai bidang kemahiran. Begitu juga dengan pembinaan pelbagai nilai bagi menyuburkan domain efektifnya. Ini adalah teras kepada pembelaran Pendidikan Seni. Pendidikan Seni perlu memenuhi keperluan pelajar-pelajarnya untuk mendapatkan keupayaan dan kemahiran tersebut.
            Melalui Pendidikan Seni Visual juga, murid-murid diberikan pengalaman seterusnya dapat membantu murid untuk membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali kekuatan diri. Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Selain itu, murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman dan hasil kerja mereka supaya murid dapat menganalisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajaran sebelumnya.
            Sejauh manakah pencapaian pelajar-pelajar dalam membina keupayaan, kemahiran dan memupuk nilai tersebut dapat dicapai? Sejauh manakah pencapaian dan berkesannya pengajaran dalam mata pelajaran ini? Untuk menjawab segala persoalan ini, satu proses penilaian perlu dilaksanakan. Penilaian Pendidikan Seni boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk membuat diagnosis bagi membantu pelajar yang bermasalah. Mekanisma untuk mendapatkan maklumat tersebut adalah dengan mengadakan pengukuran, pengujian dan penilaian.

2.0         PENTAKSIRAN DALAM PSV
Pentaksiran ini merupakan salah satu aspek utama dalam bidang penilaian pengajaran. Setiap mata pelajaran melaksanakan pentaksiran ini yang meliputi aspek pentaksiran, pengujian dan penilaian.

2.1         PENGERTIAN PENTAKSIRAN
            Pentaksiran ini merupakan salah satu komponen dalam proses pembelajaran yang merangkumi satu proses bagi mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman dan pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan. Pentaksiran merupakan komponen yang penting dalam pendidikan kerana ianya memberi maklumat mengenai perkembangan murid kepada guru, ibu bapa serta murid itu sendiri. Hasil daripada pentaksiran tersebut dapat membantu guru untuk menilai serta mengenalpasti kaedah pengajaran yang sesuai untuk digunakan kepada pelajar tersebut. Pentaksiran ini boleh dijadikan sebagai indikator pencapaian atau penguasaan pelajar dalam sesuatu kemahiran, seterusnya memberi maklum balas atau gambaran yang sebenar tentang keupayaan pelajar. Seterusnya dapat meningkatkan lagi kualiti pengajaran guru itu sendiri. Selain itu, ia juga bertujuan untuk perancangan program penambahbaikan pendidikan.
            Pentaksiran adalah proses yang melibatkan pengutipan, sintesis dan interpretasi maklumat dalam membuat keputusan (Airasian, 2001). Menurut Bhasah (2009) pula, istilah pentaksiran dan penilaian saling bertukar ganti. Umumnya pentaksiran ini melibatkan membuat keputusan berdasarkan kepada sesuatu peraturan dan piawaian. Lembaga Peperiksaan Malaysia (2013) pula memberi maksud pentaksiran sebagai proses mendapatkan maklumat dengan menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan sama ada formatif, sumatif, formal dan informal, dalaman dan luaran bagi mendapatkan evidens yang boleh dipertimbangkan dan seterusnya membuat penghakiman tentang sesuatu produk pendidikan.
            Oleh itu, dapat dilihat bahawa pentaksiran itu bukan sahaja melibatkan pentadbiran, pemarkahan dan penggredan sesuatu ujian malah meliputi pengutipan peringkat awal sehinggalah ke peringkat akhir segala maklumat. Maklumat tersebut dapat membantu pemahaman mengenai pelajar dan pemantauan pengajaran kepada guru.

2.2         PENGERTIAN PENGUJIAN
            Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu bidang atau mata pelajaran. Azizi dan Mohd Isha (2009) berpendapat bahawa pengujian merupakan proses penyerahan set soalan piawai yang perlu dijawab atau satu set instrumen atau prosedur yang bersistem bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau murid. Selain itu, Mok Soon Sang (2011) juga berpendapat bahawa pengujian sebagai suatu cara yang sistematik untuk mengukur perubahan tingkah laku seseorang individu.
            Ujian adalah alat ukur bagi mengukur tahap penguasaan pelajar dalam sesuatu mata pelajaran. Ujian kebiasaannya mengandungi satu set tugasan berdasarkan sesuatu kursus atau mata pelajaran bagi merangsang pelajar untuk menunjukkan tahap penguasaan mereka. Ujian ini merupakan salah satu kaedah dalam pentaksiran yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di sekolah, tumpuan perlu diberikan bagi membina ujian yang bermutu.



2.3         PENGERTIAN PENILAIAN 
            Penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah mana usaha pengajaran dihala. Gay (1985) dalam Bhasa (2009) mengatakan bahawa penilaian adalah satu proses yang sistematik semasa mengumpulkan dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah dicapai. Dengan ini memudahkan guru untuk membuat penambahbaikan terhadap pengajaran akan datang. Selain itu, Mohd Najib Abdul Gaffar (2011) juga berpendapat bahawa penilaian adalah satu proses yang sistematik melibatkan pengumpulan, penganalisisan dan penterjemahan keterangan tentang pada tahap mana murid telah mencapai objektif pengajaran guru. Ianya juga dijalankan sebelum, semasa atau selepas satu sesi pengajaran guru.
            Penilaian ini bertujuan untuk mengetahui keupayaan, kemahiran dan pengetahuan asas yang sedia ada pada pelajar dalam perkara yang hendak diajar kepada mereka. Penilaian ini juga dapat membandingkan pencapaian pelajar dengan rakan mereka. Ini secara tidak langsung mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar untuk berada pada kedudukan yang terbaik dalam pelajaran.terdapat beberapa jenis penilaian, antaranya ialah penilaian formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik, alternatif dan sebagainya.
           
3.0         KONSEP PENTAKSIRAN
Pentaksiran adalah proses pengumpulan maklumat tentang perkembangan dan kemajuan murid dengan menggunakan pelbagai kaedah. Ia merupakan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara berterusan. Ia hendaklah dijalankan secara tidak formal selaras dengan Seksyen 19 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Melalui aktiviti pentaksiran ini, guru boleh melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif dan dapat merancang serta melaksanakan aktiviti tindakan susulan yang berkesan. Pentaksiran merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang hasil pembelajaran seseorang pelajar bagi tujuan tertentu.
            Pentaksiran yang baik dapat dinilai melalui beberapa ciri seperti keobjektifan iaitu berdasarkan ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan. Selain itu juga ialah kebolehtadbiran susulan iaitu berdasarkan kelicinan dan kerja-kerja yang dilaksanakan secara berpusat atau berasaskan sekolah, dan akhir sekali ialah kemudahtafsiran berdasarkan calon yakni bergantung tentang maklumat skor calon, mendiskriminasikan dan menepati tujuan mengadakan sesuatu ujian. Pentaksiran yang menyeluruh pula mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua objektif yang penting. Terdapat beberapa kaedah yang biasa digunakan dalam menjalankan pentaksiran iaitu seperti pemehatian, lisan dan penulisan. Pentaksiran juga boleh dibuat tanpa menggunakan pengujian. Sebagai contoh, kemahiran melukis seseorang murid boleh diukur melalui pemerhatian atau pencerapan, sementara pengetahuan dan sikapnya boleh diukur melalui temubual. Oleh itu, kita boleh menganggap pentaksiran juga sebagai proses untuk mendapatkan sesuatu ukuran dengan menggunakan kaedah tertentu.
            Secara keseluruhannya pentaksiran ini bertujuan untuk mengenalpasti kecerdasan dan potensi murid bagi memperkukuh dan mempertingkatkan perkembangan mereka. Jadi, guru perlu menggunakan alat yang tepat bagi menjalankan pentaksiran yang tepat. Jika alat yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah ukuran yang diperoleh juga tidak tepat.
            Justeru itu, pentaksiran ini perlu dilakukan dengan sempurna dan berkesan. Untuk memastikan pentaksiran ini dilakukan dengan berkesan, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan satu sistem pentaksiran dalam transformasi pendidikan negara iaitu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). SPPK ini merupakan pembaharuan daripada sistem yang berorientasi peperiksaan kepada sistem yang lebih holistik. Keperihatinan kementerian terhadap dakwaan bahawa sistem pendidikan Negara yang terlalu berpaksikan peperiksaan ini membawa kepada satu Mesyuarat Jemaah Menteri yang bertarikh 17 Disember 2010 yang telah bersetuju agar Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan. PBS ini merupakan usaha untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamatan nilai, etika serta moral yang tinggi seperti yang tercatat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional. PBS ini mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di peringkat sekolah menengah pada tahun 2012.






4.0         JENIS PENTAKSIRAN
Rajah 1 Jenis-jenis Pentaksiran


Terdapat beberapa jenis pentaksiran yang boleh dilaksanakan oleh pihak penilai. antaranya ialah Pentaksiran Autentik, Pentaksiran “Perfomance Based”, Pentaksiran Hasil Pembelajaran, Pentaksiran dan Tindakan Penambahbaikan, Pentaksiran dan Motivasi, Pentaksiran Aspek Nilai dan Sahsiah, Pentaksiran Pembentukan Watak, Pentaksiran Berbantukan Komputer dan akhir sekali Pentaksiran Konsep Kendiri.

4.1         PENTAKSIRAN AUTENTIK
            Pentaksiran autentik menurut Rudner dan Boston (1994) merupakan proses yang memerlukan kanak-kanak mendemonstrasi pengetahuan, kemahiran dan strategi dengan memberi maklum balas dan atau hasilan dalam konteks atau realiti bermakna. Pentaksiran autentik ini meliputi pentaksiran dari pelbagai aspek merangkumi pengetahuan pelajar, pemahaman mendalam, penyelesaian masalah, kemahiran sosial, sikap terhadap persekitaran dan simulasi terhadap dunia sebenar. Dalam erti kata lain, pentaksiran autentik ini juga merupakan suatu proses yang melibatkan pelbagai bentuk pengukuran prestasi yang boleh mereflek tahap pembelajaran pelajar, kejayaan, motivasi dan sikap pada aktiviti yang relevan.
            Menurut Grace (1992), penilaian autentik ini merupakan amalan yang membabitkan kanak-kanak secara realistik dalam menilai kemajuan mereka sendiri. Ia juga melibatkan pentaksiran yang dilakukan secara berterusan. Umumnya, pentaksiran autentik ini merupakan satu sistem penilaian yang sesuai dicadangkan sebagai satu sistem yang patut digunakan dalam pendidikan seni visual. Antara contoh-contoh pentaksiran autentik adalah persembahan tarian,karya penulisan, pengumpulan portfolio dan banyak lagi. Pentaksiran ini dapat mengukur pelajar dalam pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak.

4.2         PENTAKSIRAN “PERFOMANCE BASED”
Pentaksiran “Performance Based” ialah proses yang menggunakan subjek penglibatan murid dalam sesuatu aktiviti dijalankan. Kaedah ini memerlukan pelajar untuk menggunakan pengetahuan secara bermakna serta memerlukan mereka mahir dalam pelbagai kemahiran. Sebagai contohnya penulisan, penyelidikan, perdebatan, kemahiran komunikasi dan kemahiran berfikir secara kritis. Kaedah ini dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk membaiki serta membuat penambahbaikan melalui pemikiran kritis dari masa ke semasa dalam memperoleh kejayaan pada masa hadapan. Antara jenis pentaksiran “Performance Based” ialah melalui portfolio, kaedah pentaksiran berpusat serta mengukur berdasarkan keupayaan.

4.3         PENTAKSIRAN HASIL PEMBELAJARAN
Pentaksiran hasil pembelajaran adalah proses pengumpulan data yang memberitahu sama ada aktiviti atau pengalaman yang disediakan telah memberi kesan kepada mereka yang terlibat.
Sekolah terlibat sebagai pihak yang menentukan hasil pembelajaran yang diharapkan. Penilaian tersebut tidak hanya berfokus kepada matapelajaran tertentu atau individu tertentu sahaja tetapi berdasarkan nilai keberkesanan aktiviti yang dijalankan. Penilaian tersebut juga perlu dilakukan secara berterusan.
Secara umumnya, penilaian hasil pembelajaran ini dapat mempertingkatkan pembelajaran berdasarkan penilaian yang sistematik. Selain muridakan cuba untuk menguasai hasil pembelajaranyg spesifik, ia juga dapat memacu sekolah ke arah yang lebih cemerlang.

4.4         PENTAKSIRAN DAN TINDAKAN PENAMBAHBAIKAN
Satu proses pengawalan yang berlaku apabila pelajar menggunakan maklum balas yang diperoleh untuk membuat pembetulan, penyesuaian dan mungkin juga pertukaran dan perubahan dalam apa-apa yang mereka fahami. Terdapat beberapa prinsip pentaksiran dan tindakan penambahbaikan iaitu:
1.    Pentaksiran ini memberi peluang dan memberi maklum balas serta mencipta peluang kendiri.
2.    Pelajar hendaklah mengetahui dan memahami tentang apakah yang mereka cuba capai dan apakah yang mahu mereka capai.
3.    Menjadi sebahagian daripada perancangan efektif pengajaran dan pembelajaran.
4.    Perancangan hendaklah termasuk strategi bagaimana untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dan kriteria yang hendak dicapai dalam sesuatu tugasan pelajar.
5.    Penghakiman terhadap aktiviti yang dijalankan akan dibuat untuk mengetahui sama ada pembelajaran boleh dipertingkatkan.
6.    Pentaksiran ini adalah sebahagian daripada keperluan utama amalan di dalam bilik darjah dan melibatkan kedua-dua kumpulan guru dan pelajar dalam refleksi, dialog dan membuat keputusan.
7.    Guru hendaklah yakin tahu, dan bersedia dan memaklumkan pelajar tentang komen yang telah dicatatkan, rasional pemarkahan dan gred yang telah diberikan bagi memastikan pelajar melakukan tindakan penambahbaikan.

4.5         PENTAKSIRAN DAN MOTIVASI
Ia merupakan suatu variabel perantara yang digunakan untuk menerangkan faktor-faktor dalam diri individu yang dapat membangkitkan tingkah laku ke arah satu tujuan yang tertentu. Motivasi tidak dapat dilihat dari luar, namun ia dapat menggerakkan manusia untuk menampilkan satu tingkah laku ke arah satu pencapaian tertentu.
Motivasi ini berhubung dengan kekuatan yang berada dalam diri manusia. Tingkah laku ini dapat dilandasi oleh berbagai jenis motivasi. Terdapat juga tiga jenis motivasi yang dapat mendorong manusia iaitu:
                       i.      Motif Primer
                      ii.      Motif Umum
                     iii.      Motif Sekunder

4.6         PENTAKSIRAN ASPEK NILAI DAN SAHSIAH
Aspek nilai dan sahsiah murid yang dinilai ialah amalan nilai-nilai murni, perbuatan menghormati dan mematuhi arahan serta sifat menghargai hasil kerja sendiri, kumpulan dan rakan sebaya.
Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Menurut Wan Mohd. Zahid (1988), nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, nilai-nilai yang sesuai diperhatikan adalah kebersihan dan keteraturan, keselamatan, ketekunan, bekerjasama, ketelitian dan kesempurnaan.

4.7         PENTAKSIRAN PEMBENTUKAN WATAK
Pembentukan watak bermaksud proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Maklumat yang dilihat juga berdasarkan cara penghasilan karya yang dibuat. Watak ini dikatakan boleh dipengaruhi oleh motivasi yang menggerakkan kemahuan sehingga seseorang individu tersebut bertindak.

4.8         PENTAKSIRAN BERBANTUKAN KOMPUTER
Ia juga dikenali sebagai pentaksiran berasaskan web yang merupakan satu istilah umum yang merangkumi penggunaan komputer dan internet dalam proses pentaksiran. Ia juga merupakan satu istilah yang meluas, merangkumi pelbagai kegiatan yang mana teknologi digital digunakan dalam semua kegiatan-kegiatan meliputi perancangan dan penghantaran pentaksiran, penandaan oleh komputer dan alat-alat atas talian dan semua proses pelaporan, penyimpanan dan pemindahan data yang berkaitan dengan pentaksiran di peringkat sekolah.
Pentaksiran ini juga turut didefinisikan sebagai proses pentaksiran secara elektronik yang mana Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) telah digunakan untuk persembahan aktiviti pentaksiran dan mendapatkan maklum balas. Pentaksiran berbantukan komputer adalah merujuk kepada amalan yang bergantung kepada penggunaan komputer. Contohnya penggunaan atas talian bagi tujuan forum perbincangan, maklum balas kerja kumpulan, penyelesaiana dan penyerahan tugasan secara elektronik atau e-portfolio. Sehubungan ini sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan mencadangkan supaya penggunaan teknologi diperluaskan dalam sistem pentaksiran berasaskan sekolah (Marzita Abdullah, 2009)

4.9         PENTAKSIRAN KONSEP KENDIRI
Konsep kendiri merupakan penilaian seseorang terhadap dirinya sendiri sama ada menganggap dirinya positif atau negatif. Walau bagaimanapun, untuk membina penilaian terhadap dirinya sendiri, seseorang itu perlu juga menerima penilaian orang lain terhadap dirinya. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pelajar merupakan penilai terbaik terhadap pembelajaran mereka. Guru tidak mungkin akan mengetahui apa yang pelajar benar-benar tahu. Namun, kadang-kadang pelajar sendiri juga tidak berupaya mengetahui keupayaan mereka sendiri tanpa membuat refleksi, pertimbangan dan penilaian.
Penilaian kendiri membolehkan pelajar untuk menilai diri sendiri. Carl Rogers (1950) mendefinisikan konsep kendiri sebagai suatu gambaran persepsi seseorang tentang ciri-ciri dan kebolehannya, persepsi dan konsep kendiri berbanding dengan orang lain dan persekitarannya.

5.0         TUJUAN PENTAKSIRAN
Rajah 2 Tujuan Pentaksiran
Pentaksiran bertujuan untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran. Melaluinya, guru dapat mengenalpasti sejauh mana tahap murid-murid mereka. Setelah tahap perkembangan murid diketahui, guru dapat melaksanakan tindakan susulan terhadap murid tersebut. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menilai aktiviti-aktiviti seni yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi keempat-empat bidang dalam Pendidikan Seni. Setiap aktiviti yang diajar perlu mendapat bimbingan daripada guru.  
Pentaksiran dalam PSV juga bertujuan untuk mengetahui kemahiran bahasa visual murid-murid. Sejauh mana seseorang murid dapat menguasai ilmu dalam seni visual seperti unsur seni dan prinsip rekaan dalam karya yang mereka hasilkan. Selain itu juga, ia juga bertujuan untuk mengetahui kefahaman murid dalam seni visual seperti teknik-teknik yang digunakan dalam lukisan, jenis alat dan bahan yang digunakan semasa menghasilkan karya-karya tertentu dan banyak lagi.
Disamping itu, pentaksiran dapat memberi kesedaran kepada murid tentang kepercayaan dan nilai budaya diri. Kesedaran tersebut sama ada dari aspek kognitif, psikomotor, afektif dan sosial. Guru dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada murid sebelum, semasa atau selepas menghasilkan karya mereka. Daripada itu, murid-murid yang berketerampilan serta mempunyai nilai yang tinggi dapat dihasilkan.
Bukan itu sahaja, guru juga boleh mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran bagi tujuan memperbaiki teknik serta kaedah pengajaran tersebut. Selain itu, dengan adanya pentaksiran ini, guru dapat merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid. Pentaksiran juga bertujuan untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran yang mana dapat memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap pelajar kepada guru. 

5.1         KEMAHIRAN BAHASA VISUAL
Ia merangkumi dua elemen penting iaitu unsur seni dan prinsip rekaan yang diharapkan dapat dikuasai oleh murid dengan baik.
            Kemahiran bahasa visual ini penting dalam pentaksiran PSV agar sesuatu karya yang dihasilkan oleh murid dinilai berdasarkan pengetahuan dan aplikasi media dalam kedua-dua elemen, bukan sekadar penilaian cantik atau tidak.
Unsur seni:
·      Garisan
-       Satu deretan titik yang bersambung-sambung yang mempunyai jarak tertentu.
·      Rupa
-       Hasil pertemuan titik hujung dengan titik mula. Rupa juga adalah kawasan rata yang dilingkari garis luar serta terbahagi kepada rupa geometri dan rupa organik.
·      Bentuk
-       Objek yang mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan mempunyai permukaan yang lebih daripada satu. Terbahagi kepada dua iaitu konkrit dan ilusi.
·      Jalinan
-       Kesan yang terdapat dalam sesuatu permukaan objek. Ia terbahagi kepada dua iaitu jalinan sentuh dan jalinan tampak.
·      Ruang
-       Kawasan kosong yang terdapat dalam sesuatu objek ataupun jarak yang ada pada di antara kedua-duaobjek dalam sesebuah karya seni.
·      Warna
-       Tindak balas cahaya ke atas sesuatu permukaan. Warna dapat menunjukkan perasaan seseorang pelukis semasa menggunakan jenis-jenis warna dalam penghasilan lukisan.










Prinsip Rekaan:
            Prinsip rekaan merupakan kaedah atau pengolahan unsur seni untuk menimbulkan gambaran tertentu dalam gubahan seni visual.

Rajah 3 Prinsip Rekaan

·      Harmoni
-       Susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara yang tertentu akan menimbulkan harmoni.
·         Kontra
-       Kontra diwujudkan apabila salah satu daripada unsur seni mempunyai ciri-ciri yang bertentangan antara satu sama lain untuk memberi kesan dan impak pada karya seni.
·         Penegasan
-       Sesuatu yang menjadi fokus dan kelihatan lebih ketara apabila dibandingkan dengan objek yang lain. Ia diwujudkan untuk menarik perhatian dan tumpuan terhadap sesuatu.
·         Keseimbangan
-       Keadaan gubahan yang berpadanan dari segi saiz, berat, tarikan, warna dan tumpuan pemerhatian.
·         Irama & Pergerakan
-       Keadaan objek yang bergerak, bergoyang dan bersinar. Irama ialah satu kesan ilusi yang wujud daripada perulangan susunan satu atau lebih objek secara berterusan untuk menimbulkan harmoni.
·         Kepelbagaian
-       Penggunaann segala elemen unsur seni reka dan prinsip rekaan dalam karya.
·         Kesatuan
-       Sesuatu gubahan yang baik dan saling mempunyai hubung kait antara unsur seni reka dan prinsip rekaan.

5.2         KEFAHAMAN SENI VISUAL
Kefahaman seni visual pula melihat kepada pemahaman murid dalam empat bidang utama kegiatan Pendidikan Seni Visual. Bidang utama kegiatan Pendidikan Seni Visual terbahagian kepada empat iaitu:
Rajah 4 Bidang Utama Kegiatan PSV
Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu;
a)    Pemerhatian secara aktif
b)    Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c)    Apresiasi seni visual
d)    Menghargai nilai baik

5.3         KESEDARAN TENTANG KEPERCAYAAN DAN NILAI BUDAYA DIRI
Kesedaran tentang kepercayaan dan nilai budaya diri melihat kepada aspek kognitif, psikomotor dan sosial-afektif. Dalam hal ini, pengalaman seni dalam sesi pengajaran dan pembelajaran PSV diambil kira selari dengan pengalaman sekeliling murid. Daripada itu, guru perlu mengambil kira aspek tahap murid, latar belakang murid, kebolehan dan kemampuan murid serta lokasi sekolah. Nilai budaya diri dari aspek:

                     i.        Kognitif
Ia menekankan pemikiran logik untuk disampaikan kepada umum dalam imej visual. Murid  juga dapat membezakan perkara yang patut dan tidak patut ada dalam karya mereka. Sebagai contoh, elak menghasilkan karya yang menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan.
                    ii.        Psikomotor
Aspek psikomotor pula menilai keberkesanan aktiviti yang dijalankan oleh pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran PSV. Guru juga dapat melihat tahap penguasaan kemahiran motor murid semasa menghasilkan karya seni.
                   iii.        Sosial dan Afektif
Dari sudut sosial-afektif pula, penilaian berdasarkan kriteria seperti perkembangan murid, kebolehan dan tahap murid. Daripada itu juga, penerapan nilai murni seperti bekerjasama, sikap bersaing secara sihat dan meningkatkan kreativiti murid juga dapat dilihat. Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan interaksi bersemuka secara aktif dalam kalangan pelajar.

6.0         KAEDAH PENTAKSIRAN PSV

6.1         PENILAIAN KENDALIAN SEKOLAH RENDAH (PKSR)
Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR) merupakan satu bentuk penilaian yang dilakukan secara berterusan. Dengan itu, guru dapat memastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid iaitu sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan. Prinsip PKSR yang penting untuk guru ialah, untuk mengetahui tahap pencapaian murid serta untuk mengenal pasti dan membaiki kelemahan-kelemahan murid sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran menjadi lebih kronis.
Guru menilai murid dalam pelbagai aspek berdasarkan hasil pembelajaran yang ditetapkan dalam mata pelajaran yang berlainan. Antara aspek-aspek yang dinilai dalam PKSR meliputi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran berbahasa, kemahiran belajar, kemahiran manipulatif, daya kreatif, perlakuan dan amalan nilai-nilai murni dan sebagainya. Ianya bertujuan untuk membaiki pembelajaran pelajar dengan mengubahsuai aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).
            Ciri-ciri PKSR ialah menekankan penilaian secara tidak formal, seperti pemerhatian, soal jawab secara lisan dan ujian kertas-pensel untuk mengesan peringkat penguasaan dan kemajuan pelajar dalam bilik darjah. Selain itu, ia juga menekankan penilaian formatif berbanding sumatif serta menekankan tindakan susulan daripada laporan pencapaian atau pensijilan untuk membaiki pembelajaran yang seterusnya. Bukan itu sahaja, PKSR juga mementingkan penilaian secara menyeluruh meliputi segala aspek potensi pelajar seperti intelek, rohani, jasmani dan emosi dinilai.

6.2         LANGKAH PELAKSANAAN  PKSR

a)    Penilaian Alternatif
Penilaian alternatif ini berlainan daripada penilaian yang berbentuk formal seperti penilaian formatif dan sumatif yang boleh digunakan oleh guru dalam bilik darjah. Antara penilaian alternatif yang boleh digunakan oleh guru dalam bilik darjah ialah, portfolio, persembahan/ amali dan pemerhatian.
Portfolio merupakan satu koleksi hasil kerja murid yang terdiri daripada pelbagai bahan dan sumber yang relevan dengan objektif PSV. Ia juga digunakan sebagai rekod untuk menunjukkan pencapaian murid-murid untuk mata pelajaran PSV. Sebuah portfolio yang lengkap terdiri daripada pengumpulan bahan-bahan seperti nota-nota yang disediakan oleh guru, refleksi kendiri pelajar, catatan jurnal, gambar dan sebagainya. Kelebihan penilaian secara portfolio adalah dapat melibatkan murid dengan sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ia juga memberi guru maklumat untuk menilai pencapaian murid-murid. Selain menilai tahap perkembangan murid-murid, guru juga dapat memotivasikan murid-murid serta meningkatkan tahap kefahaman kendiri mengenai tugasan-tugasan pembelajaran yang diberikan oleh guru. Melalui portfoli PSV, semua pihak dapat melihat himpunan rakaman urutan proses hasilan kerja pelajar, contoh karya pelajar, penyataan perasaan pelajar semasa proses pembelajaran PSV, hasil penulisan, ilustrasi atau gambar serta refleksi pelajar tentang proses penghasilan karya.
Dari segi konsep, portfolio Pendidikan Seni Visual berasaskan kepada kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif yang melibatkan proses penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Dalam portfolio ini, selain mendokumenkan urutan proses kerja, turut menuntut kemahiran mencetuskan idea secara kritis untuk melakukan penggubahan secara kreatif, sama ada melalui alat, bahan atau teknik tertentu.
Persembahan amali pula untuk menguji kebolehan dan kecekapan seseorang individu. Kaedah penilaian ini amat sesuai bagi pelajar yang lemah dari segi bahasa. Guru pula perlu membimbing murid dalam penyediaan pembentangan. Dalam penilaian ini, murid perlu membuat huraian secara terperinci mengenai penglibatan murid dalam kerja mereka. Huraian tersebut akan dinilai oleh guru kerana ia merupakan satu penilaian yang sah mengenai pembelajaran murid.

Pemerhatian pula mengenal pasti ciri-ciri perkembangan pelajar daripada bidang afektif dan psikomotor. Satu bentuk penilaian autentik yang membantu guru membimbing murid-murid meningkatkan keupayaan mereka secara individu. Penilaian ini amat mudah dilaksanakan oleh guru namun susah untuk menjamin kesahihan dapatannya kerana pemerhatian dipengaruhi oleh daya pengamatan, pengetahuan serta pengalaman sebenar penilai. pemerhatian juga merupakan alternatif yang ada dalam mengumpul maklumat atau pengumpulan data selain soal selidik dan temuduga.

No comments:

Post a Comment